Asmaul Husna

Friday, December 17, 2010

.:SEJARAH BALIK PULAU:.

  Bilakah Balik Pulau Diduduki?

Bukti- bukti telah menunjukkan bahawa Pulau Pinang telah diduduki pada 1762 ( Kapten Forest mencatitkan cuma terdapat lapan buah kampung pada tahun tersebut). Sebahagian daripada Datuk Keramat, dipercayai secara turun-temurun telah dibuka lebih awal iaitu pada 1704.

Bahagian lain masih lagi belum diduduki kecuali oleh tiga kumpulan kecil pelarian-pelarian Melayu dari Kedah, berjumlah lebih kurang tujuh puluh kesemuanya. Mereka tinggal di kaki-kaki bukit di sekeliling Batu Gantong, Bukit Dumbar dan Bayan Lepas. Ketika itu, Pulau Pinang masih lagi sebahagian daripada Kedah.

Sebab-sebab berlakunya penghijrahan:

Menurut Tan Ding Eing, di dalam bukunya, ?Sejarah Malaysia dan Singapura? pada bulan Februari 1786, Burma melanggar Siam dan menyerang Ujong Salang. Sultan Kedah, Sultan Abdullah Mahrum Shah (1773-98), cuba untuk memenangi hati kedua-dua belah pihak dengan menghantar senjata-senjata kepada orang Burma dan perutusan taat-setia ke Bangkok, tetapi rancangannya telah gagal. Siam, dibawah Dinasti Chakti, menghalau keluar orang Burma dan Ujong Salang dengan jayanya.

Siam kemudiannya menghantar keluar angkatan-angkatan untuk menghukum Ligor dan Pugit dan mengancam Pattani, Kedah dan Terengganu. Pattani telah diserbu dalam bulan November 1786 dan Kedah bimbangkan nasib yang sama. Sultan Abdullah sedaya upaya cuba berunding dengan Siam dan meminta bantuan British dari Light.

Dasar perluasan kuasa ini telah mengakibatkan sejarah penghijrahan orang-orang Melayu di Negeri-Negeri Melayu Siam. Hampir keseluruhan penduduk-penduduk asal yang ditemui di sekitar Balik Pulau mengakui bahawa asal-usul keturunan mereka ialah dari Pattani, Satul, Yala, Kedah dan Perlis.

Haji Hussain bin Abd Hamid, 97 tahun, berkata bahawa neneknya dari Satul telah melarikan diri ke sini dari busuh bisik? istilah yang menunjukkan akan kekejaman dan penindasan perang Siam disampaikan secara berbisik-bisik.

Proses penghijrahan mereka adalah secara berpuak-puak. Dua tempat tumpuan orang-orang Satul sehingga dikenali sebagai Kg. Satul ialah di Pondok Upeh dan Titi Teras. Meskipun demikian, mereka sebenarnya tinggal berselerak di sekitar Balik Pulau umumnya.

Menurut Haji Harun bin Rashid, 72 tahun, pada masa dahulu orang-orang Yala telah berkampung di Sg. Mati, Titi Teras, berdekatan dengan rumahnya. Manakala tanah perkuburan Titi Teras telah diwakafkan oleh seorang yang dikenali sebagai ?Tok Mad Satul?br />
Sebahagian besar penduduk-penduduk di wilayah-wilayah Selatan Thai iaitu Pattani, Satul, Yala dan Narathiwat beragaman Islam. Hal ini telah menyemarakkan lagi api peperangan.

Keadaan yang meruncing ini memaksa mereka meninggalkan tanah tumpah darah mereka. Buluh-buluh sungai ditebang untuk dijadikan rakit buat meneruskan perjalanan mengikut arus sungai. Hajjah Fatimah Sahak, 74 tahun, telah menceritakan kisah seorang bidan yang terkenal di zaman dahulu, Tok Mek Gelamai yang telah ketinggalan rakit tetapi diselamatkan oleh lelaki yang kemudiannya menjadi suaminya.

Apa yang dicari oleh mangsa peperangan ialah suatu tempat yang menjamin keselamatan dan perlindungan diri, keluarga dan puak masing-masing untuk memulakan penghidupan baru.

Dari segi logiknya, mukabumi Balik Pulau yang dikelilingi oleh bukit-bukau merupakan satu tempat yang benar-benar strategik sebagai tempat persembunyian.

No comments:

Post a Comment